Monday, February 6, 2012

Asal Usul Kalendar

Asal usul kalendar 
Oleh Rohaniza Idris 
roha@bharian.com.my 
2012/01/08 






Objek astronomi seperti matahari atau bulan jadi penentu tarikh

SETIAP tahun, apabila Disember ditinggalkan, muncul Januari yang menandakan bermulanya tahun baru. Semua ini sudah ditempuhi manusia sejak beratus-ratus tahun lalu iaitu apabila kalendar pertama wujud.
Namun, masih ramai yang tidak tahu sejarah dan perkembangan kalendar. Ini mungkin kerana topik ini bukanlah sesuatu yang penting untuk diambil tahu, lebih-lebih lagi penetapan tarikh adalah perkara rutin dalam kehidupan harian.
Sehubungan itu, sisipan RONA cuba mengimbau sejarah perkembangan kalendar dan peranannya dalam kehidupan manusia sempena kedatangan 2012.

Namun, sebelum memahami mengenai kalendar atau takwim ini, definisi kalendar itu perlu diketahui. Secara umumnya, kalendar atau takwim adalah satu sistem pengiraan masa menggunakan hari dan bulan.

Tarikh sesuatu hari itu biasanya ditentukan berpandukan kepada objek astronomi seperti matahari atau bulan. Takwim juga adalah satu objek nyata yang menjelaskan sistem itu.

Takwim atau kalendar boleh dibahagikan mengikut objek astronomi Kalendar Suria (Solar), Kalendar Qamari atau Lunar (Bulan) serta Kalendar Lunisolar (bulan dan matahari). Kalendar Suria adalah berpandukan matahari semata-mata, iaitu mengikut perubahan musim. Contohnya, Kalendar Gregorian dan Kalendar Julian.
Kalendar Lunar atau Qamari berpandukan bulan semata-mata iaitu mengikut fasa bulan. Contohnya ialah Takwim Hijrah manakala Kalendar Lunisolar pula mengikut kedua-dua bulan dan matahari - contohnya Kalendar Cina.

Dilaporkan, kalendar pertama yang wujud di dunia ini adalah kira-kira 4,000 tahun Sebelum Masihi oleh masyarakat Mesir purba. Orang-orang Mesir purba menggunakan kalendar dengan 12 bulan 30 hari, untuk jumlah 360 hari untuk setiap tahun dicampur lima hari tambahan pada akhir tahun. Manakala minggu bagi setiap bulan adalah tiga minggu sepuluh hari.

Penentuan kalendar Mesir ini berdasarkan kiraan tahun solar iaitu 3,651/4 hari, namun tidak mempunyai hari lompat setiap empat tahun untuk mengambil kira hari pecahan (cara yang kita lakukan sekarang dalam kalendar Gregorian), mereka membiarkan hari satu perempat terkumpul.

Bermaksud, ada tahun yang mempunyai hari yang lebih berbanding tahun yang lain mengikut pilihan mereka. Mereka tidak meletakkan Hari Lompat pada bulan tertentu, sebaliknya dipilih dalam mana-mana bulan yang disukai dengan syarat setiap empat tahun sekali.

Dalam sistem kalendar kini, hampir semua negara mengikut kaedah sama iaitu merujuk kepada kalendar Gregorian yang diubah berdasarkan kalendar Julian yang mana 97 tahun daripada setiap 400 tahun menyelitkan 29 hari pada Februari.

Jika ditanya kaedah atau kalendar mana paling sempurna, setiap satu mempunyai perbezaan mengikut saat, minit, jam atau hari. Malah dikatakan Gregorian yang digunakan secara meluas memerlukan perubahan dalam tempoh beberapa ratus tahun akan datang.

Kalendar Gregorian

TAHUN Gregorian bermula pada 1 Januari dan berakhir pada 31 Disember. Tahun Gregorian ada 365 hari pada tahun biasa dan 366 hari dalam tahun lompat yang memberi panjang purata 365,2425 hari.

Ini adalah sangat dekat dengan purata 76 tahun kalendar Islam (berdasarkan masa purata antara ekuinoks musim bunga berturut-turut yang kini 365,2424 hari dan meningkat sedikit).

Kalendar Gregorian ini dicadangkan oleh doktor Aloysius Lilius, dari Napoli, Itali dan kemudian mula digunakan Pope Gregory XIII pada 24 Februari 1582. Kalendar ini dicipta kerana Kalendar Julian dinilai kurang tepat, berikutan permulaan musim bunga lebih awal bukan lagi 21 Mac seperti yang dipraktikkan.

Pada awalnya, tidak semua negara mahu menggunakan kalendar ini. Britain mula menerima pakai kalendar ini pada 25 Mac 1752 manakala Russia menggunakannya pada 1918.

Kalendar Islam

KALENDAR Islam atau dikenali sebagai takwim Hijrah atau Takwim Islam pula adalah Kalendar Lunar digunakan di kebanyakan negara Islam untuk menentukan hari kebesaran Islam.

Kalendar ini berdasarkan bulan dan mempunyai kira-kira 354 hari setahun. Dalam takwim Hijrah, ada 12 bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap.

Secara tradisinya, hari pertama setiap bulan akan bermula selepas anak bulan (hilal) kelihatan ketika matahari terbenam. Jika hilal tidak kelihatan selepas 29 hari pada bulan itu, sama ada dilindungi awan atau langit di ufuk barat terlalu terang apabila bulan terbenam, maka, hari itu dikira sebagai hari yang ke-30. Pencerapan atau rukyah itu haruslah dilakukan oleh orang yang dipercayai dan dan mengakuinya di hadapan pemimpin negara.

Dikatakan bahawa orang yang mula-mula menamakan bulan-bulan ini ialah Kab ibn Murrah, datuk kelima Rasullullah SAW. Peristiwa ketika pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab adalah titik tolak perubahan takwim hijrah yang mana Khalifah Umar mengumpulkan beberapa orang sahabat pada hari Rabu 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah bagi menentukan tarikh yang patut diambil sebagai permulaan tahun Islam.

Dalam perbincangan itu, pendapat 'Ali ibn Abi Talib diterima dengan mengemukakan cadangan supaya menjadikan Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah sebagai permulaan tahun Islam. Mereka juga bersetuju dengan pandangan Uthman menjadikan Muharam sebagai bulan pertama dalam sejarah Islam.

Orang Arab menganggap permulaan hari ialah selepas jatuh matahari dan berterusan sehingga jatuh matahari berikutnya, oleh itu malam mendahului siang. Tetapi hari menurut syarak yang diberi definisi oleh fuqaha' dimulai dengan terbit fajar sadiq sehingga jatuh matahari. Pada zaman sekarang, menurut orang Eropah, hari dimulai pada tengah malam dan berterusan sehingga tengah malam berikutnya.

Kalendar Cina

KALENDAR Cina pula mengikut kalendar lunisolar, iaitu sama jenis dengan takwim Ibrani dan kalendar Hindu, yang menggabungkan unsur takwim qamari dengan kalendar solar.

Di negara China sekarang, kalendar Gregorian digunakan untuk kebanyakan kegiatan harian, namun kalendar Cina masih digunakan untuk menanda perayaan orang Cina tradisi seperti Tahun Baru Cina, perayaan Duan Wu dan Perayaan Kuih Bulan.

Sesetengah masyarakat Cina di seluruh dunia percaya dalam bidang astrologi. Mereka menggunakan kalendar ini untuk memilih tarikh sesuai melangsungkan perkahwinan atau merasmikan pembukaan bangunan baru.

Oleh kerana setiap bulan mengikuti satu kitaran bulan, kalendar ini juga digunakan untuk menentukan fasa kitaran bulan. Di China, kalendar tradisional ini dikenali sebagai ‘kalendar pertanian’ manakala kalendar Gregorian dikenali sebagai ‘kalendar umum’ atau ‘kalendar Barat’.

Kalendar Julian

KALENDAR Julian diperkenalkan pada tahun 46 SM oleh Julius Caesar dan mula digunakan pada tahun 45 SM. Kalendar ini dipilih selepas perundingan dengan ahli astronomi Sosigenes dari Iskandariah. Ia direka bentuk hampir menyamai tahun tropika yang digunakan sejak zaman Hipparchus lagi.

Tahun Julian merangkumi 365 hari yang dibahagikan kepada 12 bulan dengan satu hari lompat ditambah pada bulan Februari setiap empat tahun. Oleh itu, tahun Julian mempunyai 365.25 hari setiap tahun pada puratanya.

Kalendar ini masih digunakan dalam abad ke-20 di sesetengah negara dan masih terus digunakan oleh kebanyakan gereja Ortodoks hingga hari ini. Kalendar ini digantikan dengan kalendar Gregorian kerana terlalu banyak tarikh lompat yang menyebabkan kekeliruan.


INFO

  • Orang Arab menamakan lima bulan dengan nama musim walaupun ia tidak lagi tepat seperti dialami sekarang. Contohnya, Ramadan yang berasal daripada al-Ramada' bermaksud sangat panas, tidak selalunya jatuh pada musim panas. Begitu juga dua Jamad (Jamadilula/Jamadilawal dan Jamadilakhir) tidak selalunya jatuh pada musim sejuk walaupun Jamad bermaksud beku.

    Muharam pula dinamakan demikian kerana salah satu bulan yang diharamkan berperang. Manakala Safar pula ertinya kosong, kerana isi negeri menjadi kosong disebabkan penduduknya keluar berperang selepas Muharam.

    Rabiulawal dan Rabiulakhir dinamakan demikian kerana kedua-duanya jatuh pada musim bunga (Rabi') waktu nama itu diberikan. Rejab pula ertinya bulan yang dihormati kerana mereka menghormatinya dengan meninggalkan peperangan. Sehubungan itu, ia termasuk di dalam salah satu bulan haram.

    Syaaban (bercabang) pula mendapat namanya kerana kabilah-kabilah Arab berpecah dan bercabang untuk berperang selepas duduk diam pada bulan Rejab. Dinamakan bulan Syawal kerana pada bulan itu unta mengangkat ekornya kerana hendak mengawan, berasal daripada akar kata syala (mengangkat).

    Zulkaedah ertinya duduk, iaitu bulan yang mereka duduk di rumah tanpa peperangan. Zulhijjah pula diambil namanya daripada perkataan hajj (bulan Haji).
  • Perbezaan jarak antara tahun Hijrah dengan tahun Masihi ialah 622 tahun, tetapi jarak perbezaan ini semakin berkurangan sedikit demi sedikit. Ini kerana setahun Hijrah qamariyah mengandungi 354 hari, 8 jam, 48 minit, dan 36 saat. Sedangkan setahun Masihi shamsiyah mengandungi 365 hari, 6 jam, 9 minit dan 9.5 saat dan perbezaan keduanya ialah 10, 11 atau 12 hari dalam setahun, iaitu terpulang sama ada salah satu atau kedua-duanya tahun kabisah. Dengan kiraan ini jelaslah bahawa setiap 33 tahun Hijriyah lebih kurang sama dengan 32 tahun Masihi. Oleh itu tahun Hijrah dan tahun Masihi akan bertemu atau sama harinya pada setiap lebih kurang 33 tahun sekali.


Kalendar sudah pupus

  • Kalendar Aztec
  • Takwim Maya
  • Takwim Positivist
  • Kalendar Gregorian pertama kali digunakan di Itali, Poland, Portugal dan Sepanyol pada 1582.
  • Kalendar Gregorian mempunyai pusingan 400 tahun dan menariknya 29 Februari 2008 jatuh pada Jumaat, hari sama pada 29 Februari 2408.
  • Orang Arab sebelum Islam menggunakan tahun Qamariyah sejak zaman dulu. Namun, mereka hanya merekodkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada masa itu. Umpamanya, tarikh pembinaan Kaabah pada zaman Nabi Ibrahim dan Isma'il pada 1855 SM. Manakala tahun Gajah iaitu tahun yang paling masyhur bersamaan dengan tahun 571 M.
  • Selepas wujudnya negara Islam, tahun Qamariyah masih diteruskan tetapi tidak ditetapkan tahun-tahunnya. Oleh itu, kaum muslimin memberi nama tahun-tahun itu dengan nama peristiwa besar yang terjadi. Antaranya ialah tahun pertama (Tahun al-Izn) iaitu izin hijrah dari Makkah ke Madinah, tahun kedua (Tahun al-Amr) iaitu tahun diperintahkan memerangi kaum musyrikin. Akhirnya tahun kesepuluh yang dikenali sebagai tahun al-Wada' iaitu tahun haji al-Wada' atau haji terakhir yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

Taming Sari - Antara Mitos dan Realiti

Taming Sari - Antara Mitos dan Realiti
Oleh Rohaniza Idris
bminggu@bharian.com.my
2012/02/05
















Nor Jannati melihat bentuk Keris Taming Sari yang diseliputi dedaun emas ketika dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah.
____________________________________________________________________________























Taming Sari bersama keris Seri Gading sebagai 'peneman'.
____________________________________________________________________________














Hulu Taming Sari.


Keris tersohor di alam Melayu lambang kebesaran Diraja Kesultanan Perak 

KERIS iaitu sejenis senjata pendek yang digunakan untuk mempertahankan diri sejak lebih 600 tahun dulu tidak dapat dipisahkan daripada warisan galur bangsa.

Senjata unik di dunia Melayu ini boleh didapati di kawasan berpenduduk Melayu seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, selatan Thailand; Mindanao, Filipina serta Brunei dengan nama yang digunakan untuk senjata ini berbeza mengikut daerah.

Misalnya, di Mindanao ia dikenali sebagai sundang manakala di Bali dipanggil kedutan, Jawa Barat menggelarkannya kujang serta penduduk Sumatera merujuk keris sebagai kareh.

Dipercayai perkataan keris berasal daripada bahasa Jawa Kuno iaitu malang kerik yang bermaksud bercekak pinggang. Ini merujuk kepada figura orang bercekak pinggang pada hulu keris pada peringkat awal.

Selain digunakan untuk mempertahankan diri ketika bersilat, keris juga menjadi alat kebesaran diraja atau lambang kedaulatan Melayu. Dalam ratusan jenis senjata ini, keris tersohor yang paling dikenali ramai pastinya Taming Sari.

Sebut saja Taming Sari, rata-rata semua orang teringat kepada pahlawan Melayu Melaka, Hang Tuah, begitulah sebaliknya. Gabungan Taming Sari dengan Hang Tuah sangat sinonim dengan sejarah dan kebudayaan Melayu. Apabila timbul isu bahawa pahlawan Melayu, Hang Tuah sebenarnya tidak wujud seperti yang dipertikaikan sesetengah pihak, maka timbul persoalan sama mengenai kewujudan keris Taming Sari.

Benarkah keris Taming Sari itu wujud atau sekadar mitos untuk mengukuhkan lagi kewujudan Hang Tuah? Rona minggu ini mendapatkan pandangan sejarahwan yang juga pakar keris dan Muzium Perak bagi merungkai persoalan itu.

Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Mohd Ramli Raman berkata, keris Taming Sari banyak diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu serta beberapa manuskrip alam Melayu yang lain.

Mohd Ramli berkata, apa yang jelas, keris Taming Sari memang wujud dan menjadi alat kebesaran Kesultanan Perak. Malah, berdasarkan rupa dan ciri yang ada pada keris Di Raja itu, senjata ini memang asli dan berasal dari abad ke-14 kerajaan Majapahit.

Malah, beliau berkata, beberapa manuskrip lama yang ditemui juga menceritakan mengenai keris berkenaan dan terbukti senjata itu memang wujud serta masih terus terpelihara sebagai peralatan Diraja Perak.

“Keris Taming Sari mendapat nama daripada hulu balang Jawa pada pemerintahan kerajaan Majapahit seperti yang ditulis dalam Sejarah Melayu mahupun Hikayat Hang Tuah serta manuskrip lain. Tidak kiralah sama ada benar wujudnya pendekar Taming Sari itu atau tidak, namun keris itu memang ada.

“Mengenai keaslian pula, mengapa perlu dipertikaikan kerana senjata berkenaan adalah alat kebesaran Diraja Perak. Ia benar wujud dan asli kerana ciri yang ada termasuk jenis logam yang digunakan memang terbukti sejak lebih 600 tahun dulu,” katanya.

Mohd Ramli berkata, banyak mitos dikaitkan dengan keris berkenaan, namun mitos itu adalah kepercayaan. Jadi, soalnya, mengapa perlu diketepikan kepercayaan itu.

Menceritakan sejarah keris tersohor itu, beliau berkata, mengikut Hikayat Hang Tuah, keris berkenaan mendapat nama daripada nama pemilik keris itu, hulubalang Majapahit, Taming Sari.

“Selepas pertarungan antara Majapahit dengan Hang Tuah, yang mana kemenangan berpihak kepada Hang Tuah, keris itu dihadiahkan Ratu Majapahit dengan Sultan Melaka dan kemudian diserahkan kepada Hang Tuah.

“Selepas kegagalan Hang Tuah meminang Puteri Gunung Ledang, beliau menyerahkan keris itu kepada Tun Mamat untuk diserahkan kembali kepada Paduka Raja.

“Namun, yang pastinya saya melihat keris Taming Sari adalah lambang kewibawaan, kekuasaan, darjat, rezeki dan mempunyai pengisian serta spiritual di dalamnya,” katanya.

Mohd Ramli berkata, selepas keris Taming Sari diserahkan kepada Hang Tuah, kerajaan Majapahit tumbang manakala Melaka menjadi lebih maju dan terkenal di mata dunia.

“Selepas keris diserahkan kepada Sultan Melaka tetapi dibawa Tun Mamat ke Riau, maka berlaku kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka dan apabila ia dibawa ke Perak, ‘roh’ atau spiritual Taming Sari melonjakkan Kesultanan Perak sehingga hari ini,” katanya.

Pantang larang Taming Sari

RIWAYAT dan kisah pertarungan hebat antara lagenda pendekar Melayu terulung, Hang Tuah dengan pahlawan Jawa dalam kerajaan Majapahit, Taming Sari akhirnya menzahirkan kewujudan keris teragung dalam sejarah ketamadunan Melayu iaitu Keris Taming Sari.

Mengambil nama sempena pahlawan hebat kerajaan Majapahit itu, Taming Sari dianggap keris sakti hingga menjadikan pemiliknya tidak lut ditujah senjata tajam. Malah, cerita silam mengisahkan pemilik asal keris itu, Taming Sari akhirnya mati di tangan Hang Tuah selepas ditikam keris berkenaan.

Kehebatan senjata itu tidak pernah terhenti diperkatakan sehingga kini, apatah lagi ia sering dikaitkan dengan Hang Tuah iaitu laksamana Melayu yang terkenal dengan ketaatan serta kesetiaannya kepada raja.

Namun, kebelakangan ini ada pula yang seakan menolak kewujudan Hang Tuah dan pada saat itu, Taming Sari yang tersimpan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak, menjadi bukti kewujudan pahlawan Melayu tersohor itu. Masakan tidak, Hang Tuah dan Taming Sari begitu sebati dalam sejarah Melayu.

Sumber dari laman rasmi Pejabat Sultan Perak menyatakan keris berkenaan diselaputi dedaun emas manakala sarung atau hulunya juga diperbuat daripada emas serta dipercayai adunan daripada 20 jenis besi yang sebahagiannya adalah serpihan besi ganggang pintu Kaabah.

Pemiliknya bukan saja tidak lut senjata lawan, senjata dipercayai berusia lebih 500 tahun itu dikatakan berupaya berlegar di udara ketika mengejar musuh. Taming Sari juga dipercayai mempunyai kuasa untuk memberi petunjuk jika Perak bakal dilanda sebarang musibah atau bencana.

Kelebihan dan keistimewaan keris itu turut dibuktikan dengan kajian Muzium Perak yang mendapati keris Taming Sari memang wujud kerana senjata itu menepati ciri-ciri yang diperlukan, termasuk gambar rajah pada Manuskrip Taming Sari bertulisan jawi kuno mengandungi zikir dan amalan perang amalan Tariqat al-Shazilliah yang dipercayai ditulis pada abad ke-15.

Walaupun wujud pertikaian mengenai keaslian Keris Taming Sari yang kini tersimpan rapi di Istana Iskandariah, Pengarah Muzium Perak, Nor Jannati Ibrahim memberitahu Rona bahawa keris itu asli dan bukan replika seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Keris Taming Sari yang sebelum ini pernah dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar adalah simpanan dan warisan Sultan Perak. Jadi ia menjadi satu daripada alat kebesaran Diraja negeri ini. Malah, senjata itu hanya boleh dipamerkan kepada umum selepas mendapat perkenan daripada Baginda Sultan Perak sempena Hari Keputeraan baginda.

"Lagipun keris berkenaan sudah menjadi hak Kesultanan Perak yang sah sejak 1528 selepas diwariskan Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah I kepada Sultan Perak pertama iaitu Sultan Mudzaffar Shah,” katanya.

Walaupun ketulenan atau keaslian keris berkenaan masih dalam kajian berterusan dilakukan pihak, tetapi Muzium Perak mempertahankan Keris Taming Sari itu adalah asli dan menjadi satu daripada alat kebesaran Diraja Perak.

"Kebanyakan tohmahan timbul disebabkan generasi hari ini terlalu terdedah dengan maklumat atau fakta diperoleh daripada pelbagai sumber kurang tepat. Mereka hanya mendengar maklumat daripada sebelah pihak tanpa mengkaji sendiri sejarah sebenar Keris Taming Sari serta warisan alat kebesaran diraja itu.

"Disebabkan itu, muzium negeri secara berterusan akan mengadakan pameran berkaitan peralatan bersejarah seumpama itu untuk memberi penjelasan kepada rakyat," katanya.

Biarpun pelbagai dakwaan dan pandangan dikemukakan mengenai kewujudan keris sakti ini, Taming Sari yang juga keris kuasa atau bawar menjadi lambang kedaulatan Kesultanan Melayu Perak kini disimpan rapi bersama 26 alat kebesaran Perak lain dalam sebuah peti besi khas di istana berkenaan.

Berikutan senjata itu mempunyai 'kuasanya' tersendiri, beberapa 'penjaga' alat kebesaran Perak mendakwa ada pantang larang yang perlu dipatuhi sepanjang mengendalikan atau membawa Taming Sari.

Antaranya, keris keramat itu tidak dipamerkan di dalam kotak kaca di ruang legar galeri secara bersendirian sebaliknya disertakan dengan keris Seri Gading sebagai ‘peneman’.

Dikatakan, keris Seri Gading yang juga salah satu alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak itu diletakkan di hadapan Taming Sari sebagai ‘penawar’ dan ‘pendinding’ kepada keris terbabit daripada anasir yang berniat buruk terhadapnya.

Kesimpulan, walaupun ada pelbagai versi mengenai Taming Sari, rakyat Malaysia harus berbangga dengan memiliki seni warisan yang penuh dengan sejarah bahkan apa yang diwarisi adalah setanding dan diiktiraf negara luar.