Monday, April 1, 2013

Keliru ancaman virus

SAYA agak keliru dengan nama-nama ancaman atau virus yang perlu dibendung oleh kita semasa melayari internet seperti malware, spyware, botnet dan sebagainya. Mohon perjelaskan.

- Sutera Biru, Mentakab.

PERLUNYA mengenali jenis-jenis ancaman di Internet ini diketahui agar kita tahu modus operandinya dan mudah untuk diselesaikan sekiranya diancam.

Jadi, di bawah ini saya sertakan beberapa jenis ancaman yang biasa menjadi masalah ketika berada dalam talian internet.

1Malware - Adalah singkatan bagi satu terma Malicious Software iaitu sejenis perisian yang tidak perlu atau dikehendaki yang telah dipasang dalam sesebuah komputer tanpa disedari oleh pemilik komputer tersebut. Virus, cecacing atau Worm, Trojan Horse dan lain-lain dikategorikan sebagai malware.

2Cybercriminal - Melibatkan sesiapa sahaja yang dikenali sebagai penggodam komputer yang menceroboh masuk ke dalam sebuah komputer tanpa kebenaran pemilik komputer tersebut. Mereka melakukan aktiviti yang bertentangan dengan perundangan dan etika seperti mencuri maklumat sulit, menganggu satu operasi aplikasi dan lain-lain. Penggodam ini juga dikenali sebagai Script Kiddies, Black Hat, Cracker, Hacker dan lain-lain.

3Trojan Horse - Satu program komputer perosak yang menyamar sebagai sebuah fail atau aplikasi komputer seperti fail gambar, dokumen, permainan komputer dan sebagainya.

Program berkenaan akan membuka laluan belakang untuk masuk ke komputer tersebut tanpa disedari pemilik komputer.

4Virus - Sebuah program komputer perosak yang direka untuk menjangkiti komputer lain dan mengganggu sistem operasi komputer. Virus berupaya merosakkan atau menghilangkan fail atau merosakkan perkakasan dari segi struktur dalaman atau fizikal.

5Botnet - Botnet adalah satu jumlah rangkaian komputer yang besar dan dikawal oleh seseorang. Bot adalah satu program komputer perosak yang digunakan untuk mengawal komputer-komputer tersebut.

Bot di kawal oleh seseorang penjenayah tanpa disedari pemilik komputer.

Penjenayah ini bebas untuk melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang dengan komputer-komputer tersebut seperti penyebaran virus, spam dan lain-lain.

6Worm atau cecacing - Cecacing adalah satu program komputer perosak yang berupaya mengadakan tambahan dirinya (replikasi) dan menggunakan rangkaian komputer yang sama untuk disebarkan ke komputer yang lain.

Tidak perlu menempel kepada program lain seperti virus. Kebiasaannya ia akan meningkatkan capaian lalu lintas rangkaian dan menyebabkan rangkaian komputer tersebut tidak boleh dicapai.

7Spyware - Satu program komputer yang bertujuan untuk penyamaran untuk mendapatkan maklumat berkenaan seseorang di Internet.

Kadang kala spyware merupakan satu perisian yang biasa digunakan oleh pengguna untuk tujuan tertentu seperti program video, penyelenggaraan komputer dan lain-lain. Spyware memantau aktiviti seseorang di Internet dan mengumpul maklumat-maklumat yang berkaitan untuk makluman orang ketiga.

8Phising - Adalah sejenis aktiviti pencurian maklumat peribadi seseorang di Internet menerusi e-mel, laman web yang ditipu dan lain-lain. Phishing akan memiliki maklumat akaun, kata laluan dan sebagainya untuk akaun bank, kad kredit dan lain-lain si mangsa. Seterusnya ia akan mencuri kemudahan kewangan dan kelebihan seseorang individu itu untuk tujuan peribadi dan sebagainya.

Jadi, itulah serba ringkas maklumat berkenaan dengan jenis-jenis ancaman yang banyak menyerang seseorang di talian Internet.

Penggunaan Internet dan komputer yang selamat dan betul amat penting.

Sentiasa menggunakan perisian keselamatan, mengemas kini program komputer, menggunakan kata laluan yang selamat, berhati-hati dengan rangkaian Internet yang terbuka seperti perkhidmatan Wi-Fi. Mereka juga perlu berhati-hati ketika melayari Internet, ketika memuat turun fail, aplikasi atau klik pada sebarang sambungan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Megabait/20130401/me_03/Keliru-ancaman-virus#ixzz2PFtoAwOU
© Utusan Melayu (M) Bhd
ARKIB : 01/04/2013

No comments:

Post a Comment