Monday, November 26, 2012

myMetro | Bacaan betul ayat Kursi

SAYA ingin bertanya mengenai bacaan ayat Kursi kerana ada yang membaca bermula dari “Wa illaahukum ilaahuwaahid”... tetapi ada juga yang membaca bermula dari “Allahahulaailaaha illaa huwal haiyul qiayuum”...

Jadi, yang mana satu yang betul? Mohon penjelasan Dr.

ABU SAMAH,
Johor


KEDUA-duanya adalah sebahagian ayat dalam Surah al-Baqarah. Biasanya dibaca secara berturutan. Ia juga dibaca sebagai wirid termasuk selepas solat.

Ayat “wa-Ilahu-kum ilahun wahid ...” adalah sebahagian ayat 163 daripada Surat al-Baqarah. Maksud ayat secara penuh adalah “Dan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa; tiadalah Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.” (al-Baqarah (2): 163)

Menurut Rasulullah, nama Allah yang Maha Agung (ism Allah al-a�zam) disebut dalam ayat 163 ini dan dalam ayat 1-2 dari Surah Ali ‘Imran (Ibn Kathir I: 201)

Sementara ayat “Allah la ilah illa huwa al-hayy al-qayyum ...” ialah dari ayat 255 Surah al-Baqarah. Terjemahan ayat ini secara penuh ialah “Allah, tiadalah Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatupun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).” (al-Baqarah (2): 255)

Nama panggilan bagi ayat di atas ialah ayat al-Kursi. Ia dinamakan sempena salah satu daripada perkataan dalam ayat itu, iaitu “... wasi’a kursiyyu-hu al-samawat ...”. Ia adalah ayat yang paling agung dalam al-Quran dan mempunyai banyak kelebihannya (Ibnu Kathir I: 304-10).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22 (www.hmetro.com.my)

No comments:

Post a Comment